Sunday, February 27, 2011

CTU 551

TAJUK:
Sejarah Ustaz Abdul Jawwad bin Hassan dan Peranannya Sebagai Seorang Guru Agama

DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah ( CTU551)


DISEDIAKAN OLEH:
Ungku Maisarah binti Ungku Mahmood
No Matrik : 2010840406
Kumpulan: BMB2Bc


PROGRAM:
Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian)
Pembangunan Sumber Manusia
(BM223)


TARIKH HANTAR:
1 Mac 2011
TARIKH PEMBENTANGAN :
8 MAC 2011



ISI KANDUNGAN

1.     ABSTRAK
2.     PENDAHULUAN
3.     KONSEP
4.     LATAR BELAKANG
5.     IDOLA
6.     PERANAN
7.     MASALAH & CARA PENYELESAIAN
8.     KENANGAN MANIS & PAHIT
9.     BAKAT
10  PENGLIBATAN
11  PESANAN & HARAPAN
12  PENUTUP
13  BIBLIOGRAFI


ABSTRAK
Peranan utama seorang guru adalah menyebarkan ilmu. Ilmu yang disampaikan oleh seorang guru kepada muridnya amat tinggi nilainya biarpun hanya sedikit. Peranan seorang guru terutamanya seorang guru agama amat penting dalam membimbing murid – murid dan masyarakat. Menurut Islam, ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu Fardu Ain dan Ilmu Fardu Kifayah. Mereka yang menyebarkan ilmu ataupun seorang guru perlu memiliki keazaman dan kecekalan yang tinggi kerana tugas menyampaikan ilmu merupakan tugas bukan mudah dilaksanakan oleh semua orang. Hanya mereka yang mempunyai tahap kesabaran dan keazaman yang tinggi sahaja mampu menggalas peranan sebagai seorang guru dengan baik. Tugas seorang guru agama termasuk mendidik, mengasuh dan membimbing murid – murid. Dalam melaksanakan setiap tugas pasti ada ujian yang mendatang. Justeru, seorang guru juga pasti tidak terlepas dengan pelbagai ujian dalam melaksanakan tugas terutamanya apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai ragam murid-murid. Namun, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya dan kita hendaklah sentiasa berusaha menanganinya dan berdoa kepada Allah.



PENDAHULUAN

ﺒﺴﻢﷲﭐﻠﺮﺤﻤﻦﭐﻠﺮﺤﻴﻢ

Allhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia – NYA maka dapatlah saya menyiapkan tugasan ini. Esei ini ditulis untuk memberi kesedaran kepada masyarakat hari ini tentang betapa pentingnya ilmu dan peranan dalam menyebarkan ilmu. Tidak kira ibu, bapa, ahli keluarga atau rakan, semestinya mereka ini pernah menyebarkan ilmu kepada anda secara lansung ataupun sebaliknya. Mereka yang telah menyebarkan ilmu ialah seorang guru. Bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang guru. Tugas seorang guru memerlukan keikhlasan, keazaman dan kecekalan yang tinggi. Sebagai seorang Islam, menyebarkan ilmu agama merupakan satu dakwah. Nabi Muhammad SAW merupakan contoh terbaik dalam menyebarkan ilmu. Baginda mempunyai kesabaran dan keazaman yang amat tinggi dalam menyebarkan dakwah Islam. Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam. Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian akhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya. Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi – sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut – sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai”. (Abu Umamah r.a)



KONSEP  
                                                                                                             
Menyebarkan ilmu adalah satu perkara yang mulia. Penyampai ilmu adalah seorang guru. Islam menuntut agar umatnya menuntut ilmu. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah yang bermaksud : "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan" (al-Mujadalah : 11 )
Ilmu dari segi bahasa berasal dari perkataan Arab "Alima" yang bererti  mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu  dengan sebenarnya. manakala dari segi istilah ialah segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah S.W.T yang diturunkan kepada Rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dab batiniah. . Ilmu terbahagi kepada 2 iaitu Ilmu Fardu Ain dan Ilmu Fardu Kifayah . Ilmu Fardu Ain ialah ilmu yang wajib yang dituntut ke atas setiap umat Islam yang baligh dan berakal supaya mengetahui dan mempelajarinya bagi memenuhi tuntutan agama. Contohnya, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadah wajib seperti solat dan puasa.Ilmu Fardu Kifayah ialah ilmu  yang dituntut ke atas seluruh masyarakat Islam. Sekiranya ada seorang yang mengetahui ilmu tersebut maka gugur dosa ke atas umat Islam. Ilmu fardhu kifayah adalah sangat luas ruang lingkupnya contohnya : Ilmu Kedoktoran, pengurusan, teknologi dan sebagainya. Seseorang yang menyebarkan ilmu merupakan seorang guru, pembimbing kepada anak didik mereka.



LATAR BELAKANG

Nama beliau ialah Abdul  Jawwad bin Hassan dan dilahirkan pada 21 Januari  1975 di Batu Pahat , Johor. Beliau telah berkahwin dan dikurniakan dua orang puteri , Fadiah Adilah ,8 dan Fadiah Ajwidah, 3 serta seorang putera , Ahmad Munziruddin , 6. Beliau dibesarkan di Kota Tinggi, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Laksamana pada tahun 1982 hingga 1987. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Arab Kota Tinggi pada tahun 1988 hingga 1991 dan Sekolah Maahad Johor pada tahun 1992 hingga 1994. Beliau merupakan seorang lulusan ijazah Sarjana Muda Kepujian Universiti Al- Azhar, Mesir. Beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Al- Azhar, Mesir pada tahun 1995 hingga tahun 2000. Pada zaman kanak – kanak beliau, beliau bercita – cita untuk menjadi seorang jurutera dan apabila meningkat lebih dewasa, beliau bercita – cita untuk menjadi seorang tentera. Namun, sudah takdir Yang Maha Esa, selepas pulang ke tanah air pada tahun 2001, beliau memulakan tugas sebagai seorang guru di Sekolah Pintar Bistari dan pada tahun 2002, beliau mengajar di Sekolah Arab Kota Tinggi, Johor.Walaupun tidak pernah bercita- cita untuk menjadi seorang guru, minat tersebut kemudiannya datang dengan sendirinya apabila beliau telah mula mengajar dan mengenangkan masyarakat sekarang yang semakin jauh dengan Islam. Sebagai seorang guru agama, beliau tidak pernah berputus asa untuk berdakwah dan membimbing murid – murid beliau dan juga masyarakat. Selepas setahun mengajar di Sekolah Arab Kota Tinggi, beliau mengajar di Maktab Rendah Sains Mara Pontian, Johor sehingga sekarang. Sudah hampir 10 tahun mengajar di beberapa buah sekolah, beliau banyak berkongsi pengalaman pahit, manis dan suka duka beliau sepanjang mengajar.



IDOLA 
                                                                                                                  
            Nabi Muhammad S.A.W, Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan  Sultan Muhammad Al Fateh menjadi idola beliau. Sifat kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W amat dikagumi oleh  Ustaz Abdul  Jawwad bin Hassan. Kepimpinan Nabi Muhammad adalah yang terbaik dan perlu dijadikan contoh. Antara sikap baginda adalah sentiasa bersikap berlapang dada. Baginda tidak mudah berasa tertekan atau kelam kabut apabila berdepan dengan situasi tidak disenangi. Baginda sentiasa menggunakan pendekatan tenang dalam melihat sesuatu masalah.  Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula merupakan  Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah. Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b Al-Khatab. Beliau amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ustaz Abdul  Jawwad bin Hassan amat mengagumi keadilan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Khalifah Umar b Abdul Aziz sememangnya terkenal dengan keadilannya dan  telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangkan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya. Beliau menjadi khalifah selama dua tahun lima bulan. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat dan kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri.. Sultan Muhammad Al Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Sultan Muhammad Al Fateh menaiki takhta ketika berusia   19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Sultan Muhammad Al Fateh merupakan seorang   negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Sultan Muhammad Al Fateh sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Sultan Muhammad Al Fateh terkenal dengan pembesasan Kota Costantinople dari tentera Byzantine.



PERANAN

 Menurut beliau juga, seorang guru berperanan sebagai guru yang baik, warden yang baik dan pendidik yang baik. Walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan tentangan, beliau tidak pernah berputus asa dan semangat beliau tidak pernah sedikit pun luntur untuk membimbing murid – muridnya. Beliau sentiasa berusaha untuk menjadi guru dan pembimbing yang baik agar mampu membimbing murid – muridnya. Tambahan pula selepas dilantik menjadi warden asrama lelaki, beliau merasakan tanggungjawab tersebut perlu digalas sebaik yang mungkin kerana dia perlu mencorakkan kehidupan pelajar di tempat beliau mengajar. Hampir setiap pagi, beliau akan mengejutkan para pelajarnya bangun untuk menunaikan solat Subuh. " Barang siapa yang meninggalkan solat subuh , nescaya Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka selama 60 tahun”. Dikurniakan suara yang lantang, suaranya ‘bangun, bangun, bangun’ di luar asrama lelaki dan perempuan sahaja sudah mampu mengejutkan para pelajarnya.  Beliau tidak pernah jemu mengejutkan para pelajarnya bangun untuk menunaikan solat Subuh dan menganggap itu sebagai rutin harian beliau. Beliau amat menitik beratkan tentang solat para pelajanya kerana solat itu tiang agama. Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan An-Nasa’ie dalam As-Sunan Al-Kubra yang bermaksud,” Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat”.
Dikurniakan suara yang lantang, beliau amat petah berkata – kata untuk menyampaikan ilmu. Beliau menganggap diri beliau sebagai pelakon ketika mengajar dan pelakon yang hebat mestilah boleh melakonkan pelbagai watak. Cara beliau mengajar di dalam kelas sentiasa berubah. Beliau boleh menjadi seorang pelawak, seorang yang garang, kekasih, abang, ayah, dan lain – lain lagi kepada para pelajarnya. Pendek kata, susah untuk meramal apa yang bakal beliau lakukan. Gemarkan kekemasan dalam setiap kerja, beliau menerapkan cara penulisan buku yang kemas kepada murid- murid beliau. Nota murid – murid beliau perlulah mempunyai pelbagai warna dan peta minda yang menarik dan berwarna – warni bagi setiap topik yang dipelajari.
Menurut kajian, warna mampu meransang daya pemikiran seseorang. Dengan adanya warna yang pelbagai, seseorang mampu berfikir dengan lebih efektif. Peta minda juga dapat membantu murid – murid terutama pada saat – saat akhir, sebelum ke peperiksaan. Peta minda dapat memudahkan para pelajar mengulang kaji pelajaran kerana ianya lebih ringkas. Peta minda juga boleh menghubungkan fungsi otak kiri dengan otak kanan bagi meningkatkan daya ingatan.



MASALAH DAN CARA PENYELESAIAN

Sebagai seorang guru dan seorang ustaz, beliau menghadapi pelbagai masalah dan dugaan. Antara masalah yang selalu dihadapi beliau ialah masalah sosial dalam kalangan murid – murid. Menurut beliau, pernah ada seorang pelajar beliau menceritakan tentang masalah sosial abangnya dan abangnya juga hampir melakukan perbuatan yang terkutuk. Sebagai seorang guru, beliau amat prihatin dengan masalah yang membelenggu anak muridnya. Beliau cuba menasihati anak muridnya itu agar segera memberitahu perkara tersebut kepada ayahnya dan segera memindahkan abangnya ke sekolah yang lain agar dia tidak terus bergaul dengan rakan – rakan yang menjerumusnya ke kancah tersebut.



KENANGAN MANIS & PAHIT
           
Sebagai seorang guru yang sudah lama mendidik dan berhadapan dengan pelbagai jenis ragam murid – murid, banyak pahit manis beliau sepanjang bersama para pelajarnya. Pada tahun 2008 dan 2010, hari jadi beliau pada 21 Januari diraikan oleh murid – muridnya tepat jam 12 pagi. Begitu juga pada tahun 2011, hari jadi beliau diraikan oleh para pelajar di surau pada jam 5 pagi. Para pelajar beliau telah berpakat beramai – ramai untuk meraikan hari jadi beliau di surau. Beliau berasa amat terharu kerana diraikan oleh para pelajarnya dan mengaggap itu sebagai kenangan manis yang amat sukar beliau lupakan kerana walaupun terkenal sebagai seorang yang tegas, murid – muridnya masih boleh bergurau – senda dan meraikan hari jadi beliau. Selain daripada itu, beliau menerima pelbagai anugerah pada sambutan Hari Guru pada setiap tahun tetapi beliau merasakan tahun 2006, 2010 dan 2011 sebagai tahun yang amat menarik bagi beliau. Pada tahun 2006, beliau mendapat anugerah Guru Paling Popular pada sambutan Hari Guru manakala pada tahun 2010 beliau mendapat dua anugerah iaitu anugerah Guru Paling Popular dan Guru Enovatif. Beliau menjadikan kesemua anugerah yang diterimanya sebagai pembakar semangat dan menjadi pendorong beliau untuk berusaha lebih gigih untuk menjadi seorang pendidik yang baik.
            Tidak semua yang dilakukan oleh beliau mendapat reaksi positif daripada para pelajar beliau. Terdapat segelintir pelajar yang memberontak dengan tindakan beliau. Impaknya, ada segelintir pelajar yang sengaja tidak mengikut peraturan dan tidak berpuas hati dengan tidakan beliau. Apabila diajak berbincang, mereka ini cuba mengelak. Apabila disiasat, rupa – rupanya terdapat segelintir pelajarnya yang cuba menjadi batu api dan cuba mengeruhkan lagi keadaan. Pada ketika itu, beliau hanya mampu bersabar dan menguatkan diri dengan solat tahajjud. Solat Tahajjud adalah solat sunat yang dilakukan pada malam hari setelah tidur terlebih dahulu, kerana erti Tahajjud adalah bangun pada malam hari.Afdhalnya, solat Tahajjud dilakukan pada  satu pertiga malam yang akhir iaitu bermula pada jam1.00 malam sampai menjelang masuk waktu Subuh berdasarkan hadith Nabi:"Perintah Allah turun ke langit diwaktu tinggal sepertiga yang akhir dari waktu malam, lalu berseru, adakah orang-orang yang memohon ( berdoa ) pasti akan kukabulkan, adakah orang yang meminta, pasti akan kuberikan dan adakah yang mengharap ampunan, pasti akan kuampuni baginya sampai tiba waktu shubuh"(al - Hadith). Amalan solat tahajud bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad S.A.W, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W semata-mata. Walaupun terpaksa melalui detik – detik pahit tersebut, beliau tetap cekal dan bersabar merempuh detik tersebut dan tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai seorang pendidik kerana beliau yakin setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.



BAKAT

            Beliau mempunyai bakat dalam melatih nasyid. Pada tahun 2004, kumpulan nasyid yang dipimpin oleh beliau berjaya memenangi anugerah pada satu pertandingan nasyid. Apabila ditanya mengenai resepi kejayaan beliau memimpin kumpulan nasyid tersebut sehingga berjaya memenangi anugerah di pertandingan tersebut, beliau berkata beliau mempunyai bakat meniru yang baik. Bakat meniru yang dimaksudkan oleh beliau bukanlah bakat untuk meniru perkara yang tidak baik tetapi bakat meniru yang dimaksudkan ialah meniru dari pengalaman beliau. Beliau tidak pernah menganggotai mana – mana kumpulan nasyid cuma beliau gemar memerhatikan rakan – rakan beliau melatih pelajar – pelajar mereka bernasyid. Justeru apabila diberi tanggungjawab untuk memimpin kumpulan nasyid, beliau menggunakan pengalaman tersebut dan cuba memperbaharui dan memperbaiki sedikit sebanyak untuk memimpin kumpulan nasyid tersebut. Berkat usaha gigih beliau dan anggota – anggota kumpulan nasyid tersebut, mereka berjaya memenangi anugerah dalam pertandingan nasyid yang disertai.



PENGLIBATAN

Bagi mengisi masa lapang, ustaz Abdul  Jawwad bin Hassan ada melibatkan diri dengan pertubuhan IKRAM. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) adalah sebuah pertubuhan yang mengambil peduli tentang urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan cara hidup dan ajaran-ajaran Islam. Ia tidak bertujuan membuat keuntungan dan berusaha untuk penegakan perundangan Islam di Malaysia. Dasar IKRAM ialah ISLAM dan asas pegangannya ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Ijtihad. IKRAM telah dilancarkan pada 20 jun 2010 di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan. IKRAM lahir hasil gabungan ahli daripada lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. NGO terbabit, Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS). Aqsa Syarif Berhad yang baru ditubuhkan Februari 2010 menjadi NGO kelima yang bernaung di bawah IKRAM. Setakat hari pelancarannya sahaja, IKRAM telah mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri di seluruh negara, manakala bilangan ahli-ahlinya sudah menjangkau 3500 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Pelancaran IKRAM telah disempurnakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad.



PESANAN DAN HARAPAN

            Beliau juga mempunyai sedikit cadangan atau pesanan kepada bakal - bakal cikgu, ustaz, atau ustazah yg bakal mengajar  satu hari nanti. Menurut beliau, sebagai seorang pendidik, mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Mereka perlu terus menggunakan pengalaman mereka untuk berdakwah. Ada segelintir pendidik sekarang yang melupakan tanggungjawab terhadap masyarakat dan tidak menggunakan pengalaman mereka sepenuhnya untuk berdakwah apabila tidak lagi mengajar di sekolah - sekolah. Sebagai seorang hamba Allah, tidak salah untuk saling ingat- mengingati antara satu sama lain. Pesan beliau, seorang pendidik perlulah ikhlas mendidik para pelajar dan jangan hanya mengejar kesenangan hidup semata – mata. Niat untuk mendidik masyarakat perlulah ikhlas agar Allah memudahkan perjalanan untuk mendidik para pelajar.
            Pada hujung minggu, beliau ada juga menerima undangan untuk menjadi penceramah jemputan. Tetapi tugas beliau sebagai seorang guru tetap menjadi keutamaan beliau. Menurut beliau, beliau lebih suka menjadi seorang guru kerana banyak cuti dan boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga. Ditanya mengenai cita – cita beliau yang masih belum dicapai, ustaz Abdul  Jawwad bin Hassan  berasa iman beliau masih belum mencapai tahap ketaqwaan. Ketaqwaan adalah sifat dan sikap yang menunjukkan peribadi yang taat kepada perintah-Nya. Sebagai seorang hamba Allah, kita perlu sentiasa berusaha mencapai tahap ketaqwaan. Akhir sekali, beliau berharap beliau berharap beliau dapat senjadi seorang yang bertaqwa sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.



PENUTUP

            Konklusinya, guru agama Islam memainkan peranan yang penting dalam masyarakat. Tugas seorang guru agama Islam bukan sahaja memerlukan keazaman dan kecekalan bahkan ia juga memerlukan kebijaksaanaan yang tinggi untuk menarik perhatian masyarakat dengan aktiviti – aktiviti keagamaan seterusnya mendekatkan lagi diri dengan Allah. Dalam melaksanakan tugas seorang guru agama Islam, semestinya banyak ujian yang mendatang. Justeru, kita harus memohon ampun dan bertaqwa kepada Allah  kerana setiap ujian yang mendatang dapat diselesaikan dengan berkat dan pertolongan-NYA.

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dan Tuhanmu dan surga yang luasnya seluas lanqit dan bumi yang disediakan untuk oranq-oranq yang bertaqwa. Yaitu oranq-oranq yang menafkahkan (hartanya) baik di waktu lapanq mau pun sempit. Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaatfkan kesalahan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya dirinya sendiri mereka ingatakan Allah, atau memohon ampunan terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapa lagi yang dapatmengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu, sedang mereka mengetahui. » (Q.S. Ali lmnan: 133 - 135)



Bila hati menyentuh rasa yang sama,
jiwa melahirkan perasaan yang indah..
Bila kata mengusik minda akal mengujudkan reaksi berbeza..
Hati , jiwa, akal dan minda bersimpul mati menjadi satu..

Carilah sebutir permata dalam timbunan kaca
walaupun dijarimu terluka..
tiada cinta yang lebih hakiki selain cinta Ilahi…






BIBLIOGRAFI

Ustaz Abdul Jawwad bin Hassan. Guru Pendidikan Islam, MRSM Pontian, Johor.
Ahmad Zaki Abd. Latiff , Azam Hamzah , Azhar Mad Aros (2009). Tamadun Islam dan Tamadun Asia . Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd
Noresah Baharom, d. (1994). Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sekian. WASSALAM.